Shopping Cart
Your shopping cart is empty!

Turkiye pernah menjadi sebuah kuasa dunia semasa pemerintahan Kerajaan Uthmaniyah. Selepas tertegak lebih daripada 600 tahun, Kerajaan Uthmaniyah menemui penghujung hayatnya setelah dibubarkan oleh Mustafa Kemal Atatürk. Turkiye kemudiannya cuba diwajahkan sebagai sebuah negara beridentiti sekular yang mengamalkan dasar keras terhadap agama. Simbol-simbol agama telah dilarang untuk dimanifestasikan di ruang awam, institusi pendidikan Islam disisihkan, aktiviti-aktiviti tarekat kesufian diharamkan, selain gaya hidup ala-Barat yang bertentangan dengan nilai-nilai Islam dipopularkan oleh pihak pemerintah. Hal ini telah membangkitkan respons dalam kalangan rakyat yang memahami akan kepentingan Islam untuk dimartabatkan semula di Turkiye. Terdapat usaha-usaha yang cuba dilakukan untuk mengembalikan semula Islam dalam kehidupan masyarakat seperti yang dilakukan oleh beberapa gerakan sosial dan politik. Namun, usaha-usaha tersebut menemui jalan buntu kerana kukuhnya tembok sekularisme Turkiye. Kebuntuan ini hanya berjaya diruntuhkan selepas munculnya Parti Keadilan dan Pembangunan (Adalet ve Kalkınma Partisi-AKP), iaitu sebuah parti demokrat konservatif yang mempunyai kecenderungan terhadap Islam. Perubahan landskap sosiopolitik Turkiye dapat dilihat sepanjang pentadbiran AKP menerusi beberapa usaha yang dilakukan bagi merungkai permasalahan diskriminasi kebebasan terhadap pengamalan dan pemanifestasian agama rakyat di ruang awam.

Buku ini cuba menghadirkan perspektif yang tersendiri mengenai perkembangan Islam di Turkiye sejak dari era khilafah hingga pentadbiran AKP. Proses perkembangan Islam di Turkiye pada dasarnya berlaku secara simbiotik antara peranan yang dimainkan oleh pihak pemerintah dan kesedaran yang hadir secara organik dari rakyat. Hal ini dapat dilihat dengan lebih jelas semasa era AKP, apabila pengamalan dan pemanifestasian agama berlaku dengan lebih rancak berikutan kejayaan parti tersebut “membebaskan agama” daripada cengkaman sekularisme Turkiye yang autoritarian. Buku ini diharap dapat menghidangkan perbincangan yang sihat dan memberi manfaat kepada para pembaca, lebih-lebih lagi bagi memahami perjuangan mereka yang telah menyumbang kepada perkembangan Islam di Turkiye.


Muhammad Khalis Ibrahim (PhD) adalah pensyarah kanan di Pusat Sains Kemanusiaan, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah. Berkelulusan ijazah doktor falsafah dari Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya dalam bidang Sejarah dan Tamadun Islam (Kajian Timur Tengah), Muhammad Khalis aktif dalam menerbitkan penulisan-penulisan ilmiah mengenai sejarah, tamadun, politik, pemikiran politik dan isu-isu semasa di Turkiye, Islamisme dan Asia Barat sama ada di platform dalam mahupun luar negara. Beliau kini menumpukan kajian mengenai pengaruh pemikiran politik Turkiye terhadap dunia Islam.

Mohd Roslan Mohd Nor (PhD) adalah profesor dan ketua di Jabatan Sejarah dan Tamadun Islam, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya. Memegang ijazah doktor falsafah dalam bidang Kajian Islamicjerusalem dari University of Aberdeen, Scotland, Mohd Roslan menumpukan kajian terhadap Asia Barat, Islam dan multibudaya, hal ehwal Muslim serta sejarah dan tamadun Islam secara umum. Beliau merupakan pensyarah pelawat di Al-Maktoum Institute, Scotland (2009), Minzu University, Beijing (2012-2013), Al-Farabi Kazakh National University, Kazakhstan (2022) dan Cambodia University of Management and Technology, Kemboja (2023).

Write a review

Your Name:


Your Review: Note: HTML is not translated!

Rating: Bad           Good

Enter the code in the box below: