Buku ini membahaskan wacana ketuhanan al-Quran dan al-Hadis, sebagaimana yang diikuti oleh umat Islam pada zaman Rasulullah
SAW, zaman para sahabat dan ulama salaf. Ia disusuli dengan perbahasan tentang manhaj al-Asha‘irah dalam wacana tersebut yang
meneruskan usaha memberi kefahaman kepada umat Islam sepanjang zaman terhadap prinsip-prinsip akidah ketuhanan yang perlu disabitkan
kebenarannya dan ditolak aliran-aliran yang menyeleweng daripadanya. Penonjolan pemikiran mazhab ini adalah perlu kerana manhaj majoriti atau
aliran arus perdana umat Islam (al-sawad al-a’zam) telah dipertahankan oleh tokoh penghujah umat Islam terkenal, al-Imam al-Ghazali.
Beliau adalah tokoh ulama kalam daripada al-Asha`irah yang telah mengetengahkan manhaj akidah sederhana (iqtisad) atau pertengahan
(wasati) dalam wacana akidah, khususnya dalam tradisi ilmu kalam. Manhaj ini menggabungjalinkan antara pendekatan nakliah dengan akliah secara
harmoni dalam wacana akidah ketuhanan. Dijelaskan juga batasan wacana ilmu kalam dalam pengajian akidah dan tahap kewajaran pendedahannya
kepada masyarakat awam. Buku ini turut memfokuskan perbahasan zat, sifat-sifat, perbuatan-perbuatan dan nama-nama bagi Allah SWT
berdasarkan pandangan al-Ghazali di samping para ulama muktabar yang lain. Ia berkaitan rapat dengan tuntutan penting dalam kalimah tauhid iaitu
la ilah illa Allah yang merupakan salah satu rukun penting dalam Rukun Islam dan Rukun Iman berdasarkan pandangan Ahl al-Sunnah wa al-
Jama’ah. Selain itu, buku ini juga menjelaskan pengaruh pemikiran akidah dan akhlak yang merupakan kesan daripada penghayatan terhadap prinsip-prinsip
keimanan menurut huraian al-Ghazali kepada para ulama Melayu seperti yang dapat diperhatikan dalam karya-karya mereka seperti kitab al-
Durr al-Nafis, karangan Muhammad Nafis ibn Idris al-Banjari, Sayr al-Salikin dan Hidayah al-Salikin, karangan `Abd al-Samad al-Falimbani, Minhaj
al-‘Abidin, karangan berupa terjemahan oleh Dawud al-Fatani dan Thamarat al-Muhimmah, karangan Raja ‘Ali Haji. Buku ini sesuai untuk tatapan dan
rujukan pihak pemerintah (ulil amri), para ilmuwan dan cendekiawan, para pengkaji, para guru, para pelajar dan masyarakat awam yang berminat
untuk mengkaji wacana ketuhanan yang boleh mencerahkan kefahaman mereka terhadap “Allah SWT” menurut huraian al-Ghazali. Justeru,
buku ini wajar dijadikan rujukan khususnya bagi membantu kefahaman seseorang terhadap wacana ketuhanan Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah
aliran al-Asha’irah yang menjadi pegangan majoriti umat Islam di Malaysia khususnya dan rantau Nusantara umumnya.
Write a review
Your Name:Your Review: Note: HTML is not translated!
Rating: Bad Good
Enter the code in the box below: