Buku ini membincangkan perjuangan, pemikiran, dan sumbangan ulama Alam Melayu pada awal abad ke-20 sehingga awal abad ke-21, termasuk dari segi penulisan mereka. Perbincangan buku ini melibatkan ulama dari seluruh Alam Melayu seperti Malaysia khususnya dari negeri Perlis, Perak, Kelantan dan Johor. Buku ini turut membincangkan ulama dari wilayah lain di Alam Melayu iaitu Indonesia, Singapura, Brunei, selatan Thailand, dan selatan Filipina. Penulisan ini wajar dibaca oleh para pelajar, ahli akademik, dan orang awam yang berminat dengan sejarah ulama di Alam Melayu, khususnya ulama kontemporari yang hidup pada awal abad ke-20 sehingga awal abad ke-21. Meskipun ulama menguasai asas ilmu agama, namun tidaklah mengehadkan sumbangan mereka dalam aspek pendidikan Islam semata-mata, malahan mereka turut memainkan peranan dan sumbangan dalam lapangan politik, ekonomi, dan sosial. Dalam aspek politik, ulama Alam Melayu bukan sahaja terlibat dalam perjuangan menentang penjajah, tetapi turut terlibat dalam penubuhan dan perjuangan pertubuhan Islam bagi menyebarkan gerakan dakwah dan perjuangan mendapatkan kemerdekaan, termasuk memperjuangkan hak minoriti Islam yang ditindas. Pada masa yang sama, terdapat juga ulama Alam Melayu yang merupakan pentadbir yang cekap. Dalam aspek ekonomi, terdapat juga ulama Alam Melayu yang berjuang dalam penubuhan koperasi bagi memperkasakan penguasaan umat Islam dalam bidang ekonomi khususnya perniagaan. Sumbangan ulama Alam Melayu paling menonjol dalam aspek sosial yang bukan sahaja melibatkan sumbangan mereka dalam mengajar ilmu agama, menubuhkan madrasah dan kolej Islam, memperkasakan perundangan Islam sebagai mufti, menulis pelbagai kitab termasuklah tafsir, serta buku dan artikel dalam akhbar dan majalah, malahan sumbangan mereka dalam kegiatan dakwah dan pemerkasaan akidah umat Islam. Dalam aspek pemikiran, ulama Alam Melayu juga tegas mempertahankan pemikiran yang menjadi pegangan mereka, termasuklah pemikiran islah, selain berjuang bagi memaparkan peranan dan sumbangan ulama Alam Melayu kepada masyarakat. Semua ini menonjolkan keunggulan dan keistimewaan ulama Alam Melayu sebagai susuk yang serba boleh, iaitu tidak hanya memberikan sumbangan yang penting dalam lapangan pendidikan Islam yang menjadi teras kekuatan mereka sahaja, malah juga cemerlang dalam lapangan politik, ekonomi, dan sosial sebagai medan bagi membolehkan mereka terus mencurahkan jasa dan bakti demi agama, bangsa, dan negara.
Write a review
Your Name:Your Review: Note: HTML is not translated!
Rating: Bad Good
Enter the code in the box below: