Penulisan Pensejarahan Patani adalah buku bercorak
historiografi tentang kajian teks sejarah Tarikh
Patani dan Hikayat Patani. Buku ini terhasil dari
kesedaran perlunya bahan yang bertaburan tentang Patani
dikumpulkan untuk dijadikan bacaan umum. Pelbagai isu
yang tercetus dewasa ini di Selatan Thai menarik perhatian
mereka yang ingin menelusuri keadaan sebenar latar
belakang wilayah-wilayahnya. Menyusur sejarahnya yang
panjang, Selatan Thai merupakan sebahagian gugusan
negeri Melayu Semenanjung yang terpisah dan terpinggir
angkara kolonial British. Bekas negeri Patani yang terdiri
daripada wilayah-wilayah Patani, Yala dan Narathiwat
diberi gambaran sebagai hanyalah kelompok masyarakat
Islam-Thai di Selatan Thai dan bukannya sebagai pusat
kegiatan budaya dan peradaban bangsa Melayu yang
pernah mencapai zaman kegemilangannya. Malahan
daripada sumber yang diperoleh mencerminkan Patani
pernah berperanan sebagai pusat kegiatan persuratan
Melayu berunsur Islam yang gah dan pelopor kegiatan
sastera dengan kemunculan penulis berstatus ulama yang
menghasilkan kitab agama tersohor.
Buku ini diharap menjadi pencetus kesedaran betapa
pentingnya sejarah dan pensejarahan Patani ditulis semula
sejajar kemunculan pusat kegiatan persuratan yang muncul
di serata Nusantara demi menghasilkan manuskrip untuk
mengisi khazanah persuratan Melayu. Buku ini sebagai
tatapan kepada pembaca agar mendapat gambaran betapa
Patani yang dulunya pernah mengecap zaman keagungan
dan kegemilangannya itu, lalu membuat perbandingan
akan nasib malang yang membawa kemalapannya akibat
dibelenggu penjajahan lebih seratus tahun.
Write a review
Your Name:Your Review: Note: HTML is not translated!
Rating: Bad Good
Enter the code in the box below: