Shopping Cart
Your shopping cart is empty!

Matlamat utama penulisan buku ini adalah untuk menambahkan lagi teks bacaan di dalam bidang dasar sosial. Idea ini tercetus daripada pengalaman cetek saya selama lebih kurang 3 tahun mengajar kursus dasar sosial di Jabatan Pentadbiran Sosial, Universiti Malaya. Keluhan kebanyakan bekas pelajar saya yang sukar untuk mendapatkan bahan bacaan yang khusus mengenai tajuk ini mendorong saya berusaha menulis buku ini. Saya amat berharap agar buku ini boleh membantu para pelajar dasar sosial memahami rangka kerja historikal dasar sosial Malaysia dengan lebih mudah. Sebagai sebuah sumber bacaan bagi para pelajar yang mengikuti kursus dasar sosial, buku ini menyentuh sebahagian daripada tema penting bidang dasar sosial. Para pelajar diperkenalkan dengan peristiwa-peristiwa penting yang membawa kepada pembentukan, perubahan, pengubahsuaian dan perkembangan dasar-dasar/perkhidmatan-perkhidmatan sosial di negara ini. 
    Buku ini dibahagikan kepada tiga bahagian. Bahagian A merupakan pengenalan kepada bidang dasar sosial. Terdapat tiga bab utama di bawah bahagian ini. Kebanyakan buku dasar sosial dimulakan dengan usaha-usaha mendefinisikan konsep dan bidang dasar sosial. Saya juga tergolong ke dalam cara penulisan begini. 
    Bab satu buku ini memberi fokus kepada beberapa pengertian dasar sosial. Bab ini juga ada mencadangkan satu rangka kerja pengertian dasar sosial yang dirasakan relevan digunakan bagi konteks dasar sosial di Malaysia. 
    Bab dua pula adalah tentang fungsi dan objektif dasar sosial. Diharapkan bab ini dapat membantu pelajar memahami sebab kewujudan sesuatu dasar sosial dengan lebih baik lagi. Setiap bidang ilmu pasti akan mempunyai kaedah penyelidikannya yang tersendiri. Walau bagaimanapun, bidang dasar sosial lebih banyak mentriangulasikan pendekatan dan metodologi bidang-bidang sains sosial yang lain. Salah satu metodologi yang popular digunakan oleh bidang dasar sosial adalah metodologi komparatif. Metod ini diulas dengan teratur dalam bab tiga. 
    Bahagian B buku ini pula lebih memfokuskan kepada rangka kerja historikal penggubalan, pembentukan dan pelaksanaan dasar sosial di Malaysia. Ini kerana selain daripada teori dan metodologi, para pelajar dasar sosial perlu mempunyai pengetahuan yang kukuh terhadap segala peristiwa sejarah yang berlaku di negara ini. Dasar sosial bukanlah satu bidang ilmu yang "terperap" di dalam satu ruang hampagas. Seperti kebanyakan bidang sains sosial yang lain, dasar sosial berkembang mengikut perubahan yang berlaku di dalam sebarang aktiviti sosial, ekonomi dan politik sesebuah negara. Malah, sebarang perubahan yang berlaku di peringkat antarabangsa juga akan mempengaruhi perkembangan dasar sosial di semua negara di dunia. Pelaksanaan hampir setiap dasar sosial di kebanyakan negara mesti mempunyai perkaitan rapat dengan peristiwa sejarah yang berlaku dalam negara tersebut. Itulah sebabnya para pelajar dasar sosial seharusnya mempunyai pengetahuan historikal negara yang baik. Sejarah negara bukan sahaja penting dalam mengingatkan kita "siapa kita" malah yang lebih penting ialah memandu kita agar jangan mengulangi kesilapan yang pernah dilakukan sebelum ini. Bagi konteks rangka kerja dasar sosial, sejarah negara menerangkan asal usul pembentukan sesuatu dasar sosial serta mengandaikan adaptasi-adaptasi dasar sosial yang lebih baik di masa hadapan. 
    Di dalam buku ini, perkembangan dan implementasi dasar sosial Malaysia dilihat dari tiga konteks utama berikut: 
(1) dari konteks perkembangan struktur dan sistem ekonomi negara, 
(2) dari konteks semangat cintakan negara dan spiritual pembinaan satu bangsa dan negara Malaysia serta 
(3) dari konteks peralihan dan pergolakan sistem politik negara. Pembahagian konteks perbincangan ini dilakukan bertujuan untuk memudahkan para pelajar memahami perkaitan antara dasar sosial dengan elemen-elemen budaya, ekonomi, ideologi politik dan spiritual yang membendung masyarakat Malaysia. 
    Lebih terperinci lagi, dalam bab lima, saya mengimbas secara ringkas evolusi dasar sosial di Malaysia. Bab ini berkaitan dengan proses awal pembentukan masyarakat Tanah Melayu/ Malaysia. Proses pembentukan ini menunjukkan setiap kumpulan masyarakat itu mempunyai keperluan dan masalah masing-masing yang tersendiri. Campur tangan kuasa kolonial Barat dan imperial Jepun "mengusutkan" lagi keperluan dan masalah tersebut. Kedua-dua kuasa ini telah memperkenalkan beberapa dasar sosial yang boleh "mengukuhkan" lagi kedudukan mereka di negara ini. Di atas kepentingan politik dan ekonomi mereka, kedua-dua kuasa ini juga telah menggunakan kebanyakan dasar sosial tersebut bagi memecah-belahkan masyarakat Tanah Melayu. Tindakan tersebut mempunyai implikasi penting dalam perhubungan kaum dan pembentukan setiap dasar sosial di Malaysia sehingga kini. Kolonial Barat dan imperial Jepun juga telah meninggalkan banyak legasi dasar-dasar sosial mereka sehingga kini. Kebanyakannya telah memainkan peranan penting di dalam perkembangan dasar sosial dan struktur awal sistem pentadbiran negara Malaysia moden. 
    Bab lima berkaitan dengan pengaruh ekonomi dalam bidang dasar sosial. Perhubungan yang rapat di antara kejayaan implementasi sesebuah dasar sosial dengan pertumbuhan ekonomi negara mencadangkan agar dasar sosial harus dilihat bergantung kepada keadaan ekonomi negara. Perhubungan dua hala ini cuba diungkapkan menerusi contoh-contoh perubahan-perubahan yang berlaku dalam sistem, struktur dan ideologi ekonomi negara yang memberi kesan langsung kepada sistem dan struktur sosial masyarakat. Memandangkan pengaruh ekonomi banyak ditentukan oleh ideologi ekonomi, maka perbincangan dalam bab ini banyak juga bertumpu kepada beberapa teori dan aliran ekonomi tulen seperti teori kapitalisme, teori ekonomi klasik, teori bekalan-permintaan dan sebagainya. Walau bagaimanapun, sentuhan yang diberikan ke atas setiap teori ekonomi tersebut hanyalah secara dasar sahaja. 
    Sebuah negara yang maju dari segi ekonomi tetapi mundur dari segi moral etika tidak boleh dinilai sebagai sebuah negara-bangsa yang mulia. Sama juga, sebuah negara yang tidak harmoni tidak boleh dilihat sebagai sebuah negara yang baik. Dalam hal ini, perpaduan dan integrasi rakyat adalah sangat penting. Perpaduan dan integrasi nasional merupakan prasyarat utama bagi kejayaan pelaksanaan dan pengimplementasian sebarang program sosial di mana-mana negara pun. Bagi negara Malaysia yang mempunyai masyarakat pelbagai kaum, budaya, agama dan cara hidup perpaduan serta integrasi nasional merupakan prasyarat yang terpenting bagi pembangunan sosio-ekonomi negara. Kerajaan biasanya akan menggunakan dasar sosial sebagai tool utama pembinaan-pemuliharaan perpaduan dan integrasi nasional ini. Semua ini diterangkan di dalam bab enam. Dasar sosial seringkali dikaitkan dengan set-set intervensi kerajaan untuk menangani masalah dan memenuhi keperluan sosial masyarakat. Intervensi-intervensi ini biasanya akan dipengaruhi atau ditentukan oleh sekumpulan nilai dan ideologi politik. Proses pembuatan/penggubalan dasar seringkali/harus dilihat sebagai satu proses politik. Perkembangan sesebuah dasar sosial tidak boleh dianalisis tanpa merujuk kepada aktiviti dan ideologi kerajaan pemerintah. Setiap dasar sosial harus difahami sebagai satu produk politik. Perhatian harus diberikan kepada peranan aktor politik, pegawai-pegawai kerajaan, kumpulan pendesak, organisasi sukarela serta badan bebas pilihan raya yang memainkan peranan penting di dalam proses pembentukan, pengimplementasian dan pemantauan sesebuah dasar sosial negara. Hubungan di antara perkembangan dasar sosial dengan pengaruh politik ini dikupas dengan lebih terperinci di dalam bab tujuh. 
    Sebagai penutup, Bahagian C buku ini akan mengulas secara ringkas beberapa perkara yang perlu diberi perhatian khusus bagi perkembangan dasar sosial di alaf baru. Zaman berubah, dan begitu juga dengan masalah dan keperluan sosial manusia. Sepanjang lebih kurang 60 tahun perkembangan dasar sosial di Malaysia, pelbagai transformasi dilakukan bagi bertindak balas dengan keperluan zaman baru. Perbincangan dalam buku ini secara ringkas menyentuh tiga perubahan penting berikut: perubahan demografi, perubahan pola pasaran buruh dan proses globalisasi yang mempunyai pengaruh besar ke atas kesinambungan dan progres dasar sosial di negara ini. Selain itu, perkembangan terkini menunjukkan melancong, berekreasi, pekerjaan, membeli-belah (shopping), kepesatan dan kecanggihan teknologi maklumat/komunikasi yang banyak "mengaturkan" dan "mengambil alih" tugas/fungsi kehidupan harian individu serta isu kepenggunaan dan kewarganegaraan mewakili indeks indikator cara hidup alaf baru. Indikator-indikator tahun 2000 ini harus diberi perhatian oleh para perancang dasar sosial Malaysia dalam menggubal dasar sosial alaf baru. Perbincangan ini terdapat dalam bab lapan; iaitu bahagian penutup buku ini. Di bahagian akhir setiap bab, ada disediakan panduan bacaan ringkas yang boleh dirujuk oleh pelajar bagi mendapat satu gambaran yang lebih terperinci bagi setiap topik yang telah dibincangkan di dalam buku ini. Sebagai satu keseluruhan, buku ini merupakan satu kajian perpustakaan yang agak dangkal. Ketika mengikuti kursus dasar sosial di peringkat sarjana, saya "disedarkan" bahawa pengetahuan evolusi sejarah negara adalah sangat penting. Kekurangan dari segi ilmu sejarah negara menyebabkan saya terpaksa menghabiskan banyak masa mencari dan memahami semula semua peristiwa sejarah yang pernah berlaku di negara ini serta implikasi setiap peristiwa tersebut kepada masyarakat Malaysia. Ini menyebabkan penerangan sejarah dalam buku ini agak tohor. Pembaca yang mempunyai pengetahuan sejarah negara yang lebih baik pasti akan mendapati penerangan beberapa peristiwa sejarah di dalam buku ini sebagai penerangan yang sangat asas atau cetek. Walau bagaimanapun, niat ikhlas saya adalah untuk membantu para pelajar dasar sosial mempunyai satu teks bacaan tambahan mengenai rangka kerja dasar sosial di Malaysia. Saya amat berharap agar buku ini dapat membantu mereka memahami apa yang berlaku, apa yang telah mengasaskan dan apa yang terkandung di sebalik setiap dasar sosial di negara ini.

Write a review

Your Name:


Your Review: Note: HTML is not translated!

Rating: Bad           Good

Enter the code in the box below: